Testimoni Kejayaan Jus Mate 5


Oleh Rahayu Mohd Salleh
ayu@nstp.com.my
SETIAP kali mengendalikan ceramah mengenai soal pemakanan, dia sedar peserta cukup berkobar-kobar untuk mengurangkan pengambilan makanan yang tidak sewajarnya, sekali gus mengatur cara hidup yang lebih sihat.
Tetapi, tiba saja waktu hidangan ringan disajikan, masing-masing seperti tidak menang tangan menjamah juadah meskipun sekadar hidangan ringan.
Lupa segala pengetahuan mengenai jumlah kalori yang harus diambil, apatah lagi karipap atau mihun goreng kelihatan cukup enak.
Memang agak melucukan, namun senario itu biasa bagi Pakar Pemakanan, Premila Muthukumaran, kerana menurutnya, mengubah tabiat pemakanan harus bermula dengan kesedaran dalam diri sendiri.
“Apabila seseorang itu tidak bersedia untuk mengubah cara hidup termasuk aspek pemakanan, memang payah hendak menurunkan berat badan,” katanya yang berkhidmat di Pusat Maklumat Pengurusan Berat Badan atau lebih dikenali sebagai Weight Management Information Centre (WMIC).
Lantas, menurutnya, tidak hairan wanita yang mahu menurunkan berat badan, gagal mencapai matlamat mereka kerana tidak dilakukan dengan betul termasuk pemilihan makanan yang sihat.
“Asas kepada penurunan berat badan adalah mengurangkan jumlah pengambilan kalori dan meningkatkan senaman.
“Kebanyakan makanan tambahan untuk mengurangkan berat badan hanya membantu menyingkirkan kandungan air dari dalam tubuh dan bukannya membakar lemak.
“Kandungan air boleh digantikan dengan mudah di dalam tubuh dan mereka bukan mengalami penurunan berat badan tetapi kehilangan air.
“Apabila mereka berhenti mengambil produk sedemikian dan gaya hidup mereka sama, berat mereka kembali seperti dulu,” katanya ketika ditemui di WMIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Menurutnya, tabiat mengambil makanan berlemak dan bersaiz besar menyebabkan berat badan makin bertambah.
“Wanita yang mahu menurunkan berat badan perlu mengubah cara hidup, bukan mengharapkan sesuatu yang ajaib, ia adalah suatu komitmen.
“Ramai wanita enggan bersenam kerana memikirkan lemak dalam tubuh ditukarkan kepada otot.
“Apabila bersenam, sel lemak akan mengecil, namun ia boleh mengembang sehingga 20 kali ganda jika seseorang itu tidak mengawal pengambilan makanan berlemak,” katanya.
Katanya, selepas bersenam, jangan pula mengambil makanan berlebihan kerana ia tabiat yang buruk.
“Memang anda lapar selepas bersenam tetapi ia boleh dikawal dengan menikmati makanan berkhasiat seperti jagung atau salad tanpa menambah mentega atau mayonis,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mengambil pil bagi mengurangkan berat badan, ia harus dilakukan menurut nasihat doktor.
“Pengambilan pil mengandungi orlistat dan sibutramin untuk tujuan pengurangan berat badan memang dibenarkan namun perlu merujuk kepada doktor atau ahli farmasi,” katanya.
Orlistat boleh menghalang penyerapan lemak dalam badan sehingga 30 peratus manakala sibutramin yang memasuki saluran darah, membantu mengurangkan selera makan.
Pengambilan sibutramin yang berlebihan pula boleh menyebabkan peningkatan kadar degupan jantung dan sukar tidur.
Pengurangan berat badan yang ideal, menurutnya, adalah di antara setengah kilogram sehingga satu kilogram seminggu. Bagaimanapun, jika seseorang itu mengurangkan dua kilogram sebulan, ia dianggap sesuatu yang cukup berbaloi.
“Apa yang penting, anda perlu mengubah gaya hidup lebih sihat. Biarpun pengurangan berat itu hanya sedikit, ia lebih baik daripada tiada langsung.
“Jika biasa makan nasi lemak lima kali seminggu, ambil makanan itu seminggu sekali. Perubahan sekecil ini juga banyak membantu mencapai tahap kesihatan diingini,” katanya.
Bagi wanita yang mengelak menikmati hidangan tiga kali sehari semata-mata untuk mempercepatkan proses penurunan berat badan, Premila mengakui cara berkenaan memang tidak berkesan.
“Mereka yang tidak mengabaikan sarapan, makan tengah hari dan makan malam, mungkin akan mengambil sejumlah 1,100 kalori atau kcal (500 kcal untuk sarapan, 600 kcal untuk makan tengah hari dan 500 kcal untuk makan malam) sehari.
“Tetapi, jika mereka tidak bersarapan dan makan tengah hari, mereka akan terlalu lapar membuatkan mereka makan dengan banyak.
“Apabila terlalu lapar, mereka mahukan makanan yang dapat memuaskan nafsu itu seperti makanan bergoreng dan berlemak.
“Akibatnya, makan malam mereka mungkin akan mencapai sehingga 1,200 kalori atau lebih,” katanya.
Untuk wanita melebihi usia 30-an pula, kesukaran mereka untuk mengurangkan berat badan banyak dipengaruhi kadar metabolisme yang kian menurun.
Metabolisme adalah proses pembakaran kalori untuk memperoleh tenaga dalam tubuh. Untuk mengurangkan lebihan berat badan, tingkatkan aktiviti fizikal.
Memperoleh pekerjaan baru juga boleh menjadi punca pertambahan berat badan terutama apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai tekanan di tempat kerja baru.
Sama ada disedari atau tidak, ada yang mengambil makanan secara berlebihan semata-mata untuk mengurangkan tekanan itu.
“Sesetengah wanita mengabaikan menjaga berat badan kononnya hidup sudah stabil selepas berkahwin. Mereka terlalu sibuk menjaga keluarga hingga tiada masa untuk diri sendiri.
“Kesedaran untuk memperoleh atau mengekalkan berat badan yang ideal memang penting kerana berat badan berlebihan akan meningkatkan risiko pelbagai penyakit.
“Jika mereka sakit, ia turut menjejaskan orang tersayang. Kehidupan yang menyihatkan bukan saja untuk diri sendiri tetapi seisi keluarga.
“Anak-anak pula biasanya akan mengikut jejak langkah ibu bapa mereka. Jika ibu bapa cenderung mengamalkan pemakanan kurang sihat, anak-anak turut mengikut tabiat buruk itu,” katanya.
Sumber : Harian Metro